AIR Sungai Garing yang melimpah berikutan hujan lebat menyebabkan banjir di kawasan kampung ketika tinjauan di Kampung Bukit Tambun, Alor Gajah. FOTO BERNAMA
AIR Sungai Garing yang melimpah berikutan hujan lebat menyebabkan banjir di kawasan kampung ketika tinjauan di Kampung Bukit Tambun, Alor Gajah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Jumlah mangsa banjir di daerah Jasin dan Alor Gajah meningkat kepada 242 orang tengah hari ini, berikutan hujan lebat sejak 5 petang semalam sehingga 9 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Effendy Ali berkata, terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Jasin iaitu terbaru, dibuka pada 8 pagi tadi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel menempatkan 115 mangsa daripada 26 keluarga.

"Satu lagi PPS di Jasin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum menempatkan 73 mangsa daripada 20 keluarga, manakala PPS SK Tedong telah ditutup pada 9 pagi tadi dan 11 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Bagi daerah Alor Gajah pula, PPS SK Durian Tunggal menempatkan 54 mangsa daripada 13 keluarga," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata lapan kawasan di daerah Jasin terjejas iaitu Taman Merlimau Mekar, Taman Merlimau Megah, Kilang Berapi, hadapan SMK Dato' Abdul Rahman Ya'Kub, Pekan Tedong, Paya Lengkong, Seri Mendapat dan Tehel, manakala hanya dua kawasan di daerah Alor Gajah iaitu Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai.

Katanya bagaimanapun, dua jalan raya yang ditutup kerana ditenggelami air iaitu Jalan Lipat Kajang-Merlimau di Jasin dan Jalan Durian Tunggal-Simpang Gading di Alor Gajah telah dibuka laluannya kepada orang ramai, setakat 12 tengah hari ini.

Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri turut memaklumkan keadaan cuaca semakin cerah dan paras semasa air sungai di Sungai Chohong, Sungai Melaka dan Sungai Duyong sehingga kini belum mencapai paras amaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 2:17 PM