Mohd Hasbi Sidek dan Nur Sufiah Abd Halim


PENDUDUK dan penjaja di sekitar Pasar Jinjang, Jalan Jinjang Utama, Kuala Lumpur kini boleh melaporkan segala kejadian jenayah di tempat mereka secara terus kepada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy melalui aplikasi Whatsapp.

Munusamy yang meluangkan masa kira-kira dua jam dalam Program Balik Kampung dan Pelancaran Ops Selamat Peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul di pasar berkenaan pagi tadi, memberikan nombor telefon bimbitnya kepada semua penduduk dan penjaja.

‎Beliau berkata, tanggungjawab mencegah jenayah bukan hanya terletak di bahu pihak polis sahaja, namun masyarakat memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

‎“Kami hanya mempunyai kira-kira 1,000 anggota dan pegawai di IPD Sentul untuk menjaga 1.2 juta penduduk dalam kawasan pentadbiran IPD Sentul.

‎“Kerjasama daripada masyarakat amat penting untuk dalam usaha mengekang kejadian jenayah,” katanya ketika ditemui sejurus program berkenaan.

Dalam program yang bermula kira-kira 9 pagi itu, Munusamy berdialog bersama penjaja dan penduduk sebelum meluangkan masa selama kira-kira sejam melawat ke gerai dalam pasar berkenaan.

‎Menurut beliau, kadar jenayah pada 2017 dilihat turun 20 peratus berbanding 2016 dan ia adalah jumlah paling tinggi dicatatkan sejak 2014.

‎“Kami berjaya melumpuhkan kegiatan jenayah membabitkan kes curi kenderaan dan kes samun serta jenayah jalanan lain. Penurunan yang begitu ketara ini adalah hasil kerjasama dan maklumat yang diberikan oleh masyarakat.

‎“Justeru, hari ini saya memberikan nombor telefon bimbit saya kepada mereka semua agar segala kegiatan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan dapat disalurkan terus kepada saya.

‎“Nombor ini pihak kerajaan (Polis Diraja Malaysia) berikan kepada saya untuk melakukan kerja, jadi saya gunakannya untuk memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 1:07 PM
R Munusamy (kanan) beramah mesra dengan orang ramai pada Pelancaran Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina. FOTO Aswadi Alias
R Munusamy (kanan) beramah mesra dengan orang ramai pada Pelancaran Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina. FOTO Aswadi Alias