AHMAD Sukarno ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. FOTO Genes Gulitah
AHMAD Sukarno ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. FOTO Genes Gulitah
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dua lelaki disyaki ahli kumpulan samun, Khoki Kumar ditahan dalam dua serbuan berasingan di Lembah Klang di sini 21 dan 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing mendakwa disamun pada 7 Januari.

"Mangsa berusia 26 tahun membuat laporan berhubung kejadian samun mendatangkan kecederaan yang berlaku di sebuah kedai cuci kereta beralamat Jalan Batu 7, Jinjang.

"Suspek bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang besi menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan seorang lagi suspek merampas wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati dua suspek lelaki datang menaiki sebuah kereta tidak dikenal pasti berwarna putih sebelum menyerang mangsa.

Katanya, susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Daerah Sentul membuat dua serbuan berasingan dan menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 39 tahun yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

"Semakan mendapati kedua-duanya suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan dengan tertangkapnya mereka ini polis berjaya selesaikan dua kes samun di ibu negara dan Selangor.

"Selain itu, polis juga berjaya menyelesaikan dua kes curi kenderaan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394, dan Seksyen 379A kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:31 PM