Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Seorang juruteknik ditahan polis kerana memiliki enam kilogram (kg) ganja dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 27 tahun dicekup hasil siasatan ke atas beberapa kes narkotik di negeri ini.

Katanya, pihaknya yang menjalankan risikan dua minggu lalu mengesan kedudukan lelaki itu sebelum tangkapan dilakukan.

 Muhamad Zaki menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas di IPK Negeri Sembilan, semalam.
Muhamad Zaki menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas di IPK Negeri Sembilan, semalam.

“Dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, anggota polis menyerbu kediaman itu jam 8.30 pagi dan hasil pemeriksaan pada kereta milik suspek menemui enam ketulan mampat dadah dipercayai ganja,” katanya.

“Sehubungan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman. Pihak kami turut merampas kereta dan wang tunai, bernilai RM35,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 2:22 AM