Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak (gambar) akan mengambil bahagian dalam kejohanan golf amal yang akan diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) pada 14 Februari.

Kejohanan berprestij Golf Perdana PEMADAM 2015 Piala Sultan Azlan Shah itu dianjurkan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Perdana Menteri ialah Penaung Kehormat.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang juga Bendahari Kehormat PEMADAM berkata, kejohanan itu sebahagian daripada usaha persatuan berkenaan meningkatkan dana yang amat diperlukan bagi membanteras penyalahgunaan dadah.

“Dadah kini musuh nombor satu negara yang memberi kesan kepada ramai anak muda yang menghalang mereka daripada mengikuti gaya hidup normal dan sihat.

“Sumbangan amat dialu-alukan kerana ia bertujuan membantu PEMADAM mendidik dan meningkatkan kesedaran di kalangan belia kita akibat penyalahgunaan dadah dan menukar mereka menjadi warga yang mampu menyumbang kepada pembangunan peribadi mereka sendiri dan masyarakat.

“Ini peluang kita untuk memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran yang cukup mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai atau mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan ini, sila e-mel kepada Raymi Harun di [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 7:12 AM