AZMAN (dua dari kiri) bersama penduduk  meninjau masalah banjir lumpur yang melanda Kampung Sungai Sekamat sejak setahun lalu.
AZMAN (dua dari kiri) bersama penduduk meninjau masalah banjir lumpur yang melanda Kampung Sungai Sekamat sejak setahun lalu.
HM Digital

Kajang: “Pantang hujan lebat, pasti kampung kami dilanda banjir lumpur berpunca daripada pembangunan tidak terancang di hulu sungai ini sejak setahun lalu,” kata penduduk Kampung Sungai Sekamat, Muda Manaf, 42.

Menurutnya, keadaan banjir lumpur mula menimbulkan masalah kepada 3,000 penduduk yang mendiami kira-kira 500 rumah sepanjang kiri dan kanan Sungai Sekamat, di sini, sejak setahun lalu.

Muda mendakwa, bencana itu berpunca daripada projek pembinaan banglo di kawasan Hulu Sungai Sekamat menyebabkan rumah penduduk dinaiki banjir lumpur setinggi 0.3 meter hingga satu meter setiap kali hujan lebat.

“Sebelum ini pun ada berlaku banjir tetapi bukan banjir lumpur yang melanda hanya dalam tempoh satu jam hujan lebat. Sejak tahun lalu, sudah empat kali rumah penduduk dinaiki banjir lumpur dan terbaru pada 23 Januari lalu.

“Setiap kali selepas banjir, kami sekeluarga terpaksa berpenat lelah membersihkan rumah selama berhari-hari daripada lumpur,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Presiden Gagasan Prihatin Semenyih (GPS), Azman Ahmad menggesa kerajaan negeri mempercepatkan projek tebatan banjir menerusi peruntukan RM5 juta yang diumumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2016.

“Bagaimanapun, apa yang menimbulkan persoalan mengapa sehingga ke hari ini tiada apa-apa yang berlaku untuk membela nasib penduduk yang bukan mahu menagih bantuan setiap kali dilanda banjir.

“Mereka hanya mahukan noktah terhadap bencana ini kerana tidak lagi sanggup menghadapinya. Mereka mahu tahu sejauh mana projek tebatan banjir ini sudah terlaksana demi kesejahteraan hidup yang diimpikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:11 PM