PEMANDANGAN di sekitar Ulu Muda. FOTO arkib NSTP
PEMANDANGAN di sekitar Ulu Muda. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Persatuan Ekonomi Alam Malaysia menyarankan kerajaan negeri Kedah mempertimbangkan untuk mengenakan Bayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES) kepada Pulau Pinang untuk air mentah yang diekstrak dari Sungai Muda.

Presidennya, Prof Dr Awang Noor Abd Ghani berkata, tuntutan PES adalah alternatif yang lebih baik bagi Kedah untuk digunakan bagi memelihara Ulu Muda berbanding menuntut bayaran untuk bekalan air mentah.

"Oleh itu, kerajaan Kedah perlu menggerakkan usaha untuk mewujudkan rangka kerja PES di Hutan Simpan Ulu Muda. Ia terdiri daripada mekanisme, sistem, kontrak dan pemantauan membabitkan kedua-dua negeri.

"Maksudnya di sini perlu ada perjanjian antara Kedah dan Pulau Pinang... contohnya berapa caj dan berapa bayaran yang akan digunakan untuk memelihara kawasan tadahan Ulu Muda," katanya pada webinar PES di Hutan Simpan Ulu Muda anjuran Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Seminar itu dikendalikan oleh Presiden MNS, Prof Dr Ahmad Ismail.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menuntut Pulau Pinang membayar air mentah yang diekstrak dari Sungai Muda yang mengalir ke Seberang Perai Utara.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menolak permintaan itu dengan mendakwa negeri itu mereka hanya mengekstrak air mentah di wilayah Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Awang berkata, Pulau Pinang lupa hakikat bahawa air itu berasal dari kawasan tadahan Ulu Muda yang terletak di Kedah.

Katanya, prinsip PES adalah penyelesaian yang lebih mesra untuk mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negeri.

"Pada masa yang sama, kita boleh memastikan perlindungan mampan Hutan Simpan Ulu Muda yang akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negeri dalam jangka masa panjang," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, semua pihak berkepentingan harus menggubal dan mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi memberi laluan kepada PES di Ulu Muda.

"Sebagai contoh kerajaan persekutuan baru-baru ini bersetuju untuk membayar pampasan kepada kerajaan negeri yang melindungi hutan simpan mereka tetapi kita perlu jelas undang-undang mana yang akan digunakan untuk proses pembayaran dan sebagainya.

"Tanpa mempunyai undang-undang dan peraturan yang jelas, negeri-negeri ini tidak akan dapat menjana pendapatan dari hutan simpan dan seterusnya hanya bergantung kepada aktiviti pembalakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 8:25 PM