PEMANDANGAN dari atas empangan Ulu Muda. FOTO arkib NSTP
PEMANDANGAN dari atas empangan Ulu Muda. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kelulusan bagi permit penerokaan mineral jenis 'rare earth elements' (REE) berskala besar di Ulu Muda, Kedah, boleh menjejaskan bekalan air di tiga negeri utara tanah air serta berbahaya kepada 4.2 juta penduduk.

Malah operasi penerokaan berskala besar itu akan menghasilkan sejumlah besar sisa toksik, serpihan tanah tercemar serta membawa impak buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, penerokaan di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda seluas 163,000 hektar itu membabitkan pembukaan tanah berskala besar.

Katanya, penebangan pokok, meratakan bukit, kerja mendirikan kuari dan menggali bumi menyebabkan kemusnahan besar di persekitaran hutan hujan selain memberi kesan buruk kepada Sungai Muda iaitu sumber air mentah yang strategik.

"Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (NRE) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mesti bekerjasama bagi menghentikan tindakan berbahaya ini dengan segera.

"Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) dengan mudah melupakan yang Ulu Muda adalah kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menerusi sidang media baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan negeri itu sudah meluluskan permit syarikat tempatan bagi meneroka mineral REE di Ulu Muda, Sik dan Baling yang dianggarkan bernilai RM62 bilion.

Mineral tidak beradioaktif itu didapati di bawah muka bumi Sik, kawasan Ulu Muda, Baling serta di Lenggong, Perak, namun Muhammad Sanusi memberi jaminan bahawa tiada pokok balak akan ditebang semasa proses itu.

Jaseni berkata, tiada cara lain bagi menjalankan perusahaan perlombongan berskala besar di Ulu Muda tanpa memusnahkan hutan hujan yang menjadi tadahan air dan mengalir ke Sungai Muda sebagai air mentah.

Katanya, Ulu Muda adalah penghubung pertama dalam rangkaian nilai bekalan air NCER yang memenuhi keperluan air penduduk dan perniagaan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda manakala lebih daripada 80 peratus air mentah yang diabstrak PBAPP dari Sungai Muda, di muka sauk Lahar Tiang, Pulau Pinang, berasal dari Ulu Muda.

"Ulu Muda tidak dapat terus berfungsi sebagai kawasan tadahan air semula jadi utama bagi tiga negeri NCER jika hutan hujannya ditebang, bukit diratakan dan lanskap dicalarkan oleh operasi perlombongan malah potensi kerosakan mungkin akan kekal," katanya.

Sehubungan itu Jaseni berkata, penerokaan REE di Ulu Muda pasti akan meletakkan perkhidmatan bekalan air bagi tiga negeri itu dalam keadaan bahaya.

"Justeru KASA, NRE dan MKN mesti memastikan bahawa Kedah tidak membahayakan keselamatan bekalan air negeri NCER yang menyumbang sekitar RM147.8 bilion pada tahun 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 5:50 PM