SM Mohamed Idris. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
SM Mohamed Idris. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan kenyataan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar bahawa Kedah akan membatalkan permit pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda berkuatkuasa segera.

Namun, Presidennya SM Mohamed Idris berkata, membatalkan lesen sahaja tidak mencukupi kerana tindakan segera mestilah diambil bagi mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai hutan tadahan air dan melindunginya bagi fungsi penting disediakan hutan itu kepada masyarakat.

Katanya, terdapat dana antarabangsa boleh diperoleh bagi perlindungan hutan bagi tujuan menangani perubahan iklim dan memulihara biodiversiti dan Kerajaan Persekutuan dan Negeri mestilah mengusahakan sendiri sumber ini.

“Hutan Simpan Ulu Muda dan kawasan hutan sekitarnya amat penting berikutan ia meliputi kawasan tanah berjumlah 106,418 hektar, malah menjadi kawasan tadahan air terbesar di wilayah utara, memenuhi tiga empangan utama di Kedah iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu.

“Di bawah kerajaan sebelum ini, pembalakan memusnahkan kawasan di Hutan Simpan Ulu Muda dan seharusnya tiada lagi pembalakan dibenarkan di kawasan itu, termasuk aktiviti pengeluaran seperti perlombongan atau kuari,” katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Dalam kenyataan semalam, Xavier menyatakan Kerajaan Persekutuan akan membayar pampasan kepada Kedah kerana kehilangan hasil pendapatan.

Menurut Mohamed Idris lagi, air mentah dari Ulu Muda mengalir melalui Sungai Muda ke Pulau Pinang dan kini amat kritikal dalam memenuhi keperluan air Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan 4.09 juta penduduk di tiga negeri terbabit.

Katanya, air mentah berpunca dari Ulu Muda amat penting bagi tanaman dua kali setahun di kawasan sawah padi di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, termasuk jelapang padi negara.

“Hutan ini memainkan peranan utama sebagai ‘penyerap karbon’ (carbon sink) yang amat kritikal bagi menangani perubahan iklim.

“Seharusnya tiada lagi alasan untuk tidak mengambil tindakan bagi mewartakannya sebagai hutan tadahan air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 10:41 PM