Prof  Asma (tengah) bersama  peserta program sempena Majlis Graduasi Program SME@USM di USM Pulau Pinang.
Prof Asma (tengah) bersama peserta program sempena Majlis Graduasi Program SME@USM di USM Pulau Pinang.
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Seramai 19 lagi usahawan bergelar graduan SME@USM (Universiti Sains Malaysia) selepas menamatkan program SME@Universiti yang berlangsung selama tiga bulan, semalam.

Program kolaborasi antara SME Corp Malaysia (SME Corp) dan 10 universiti tempatan, termasuk USM sejak tujuh tahun lalu itu bertujuan meningkatkan potensi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang di seluruh negara.

Peserta yang mengusahakan perniagaan pekasam daging, Mohd Nazar Yamat, 27, berkata, program itu amat membantu membuka peluang dan ruang dalam mengendalikan syarikatnya, NY Nazaryamat yang diusahakan di kampus USM.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu turut mengusahakan tawaran servis reka bentuk grafik dan percetakan yang beroperasi sejak tiga tahun lalu.

“Program ini banyak menyedarkan saya mengenai pengurusan perniagaan dan walaupun bagi tempoh yang singkat, ia tetap mencabar diri berikutan perlu membahagikan tugas antara pelajaran dan perniagaan.

“Pengalaman ini akan digunakan dengan sebaiknya dan saya merancang bagi membuka cawangan kedua perusahaan ini dalam tempoh terdekat,” kata pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Seni Halus dalam Grafik Komunikasi di USM itu.

Mohd Nazar ditemui di Majlis Graduasi SME@USM yang dirasmikan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Asma Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Datuk Dr Hafsah Hashim dan Pengarah Pusat Keusahawanan (EpiC) USM, Prof Dr Mahmod Sabri Haron di USM, hari ini.

Sementara itu, Hafsah berkata, program itu adalah julung kali diadakan bersama USM dan ia menunjukkan maklum balas positif dalam kalangan peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 3:35 AM