DR Aini  (kiri) bertukar dokumen  dengan  Hafsah pada  majlis menandatangani MoU antara SME Corp dan UPM, semalam.
DR Aini (kiri) bertukar dokumen dengan Hafsah pada majlis menandatangani MoU antara SME Corp dan UPM, semalam.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), bercadang untuk menyemak semula polisi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan hasil pengumpulan data input dan output yang diperoleh Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pengumpulan data maklumat PKS tempatan secara menyeluruh itu adalah langkah yang dilaksanakan hasil kerjasama antara SME Corp dan UPM bagi mengetahui sejauh mana kebergantungan golongan berkenaan dengan syarikat besar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata, kajian yang dilaksanakan UPM itu bukan saja kali pertama dilakukan di Malaysia, malah pihaknya difahamkan kemungkinan juga pertama di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, dapatan data yang diperoleh UPM turut membantu negara bukan saja menyemak semula polisi yang bersesuaian dengan keperluan PKS, malah mewujudkan program pembangunan yang lebih relevan kepada golongan berkenaan.

“Hasil kajian berkenaan dijangka dimuktamadkan pada Februari 2018 dan menerusi dapatan ini, kita akan dapat melihat keperluan sama ada polisi sedia ada berkaitan PKS tempatan perlu disemak semula atau dikekalkan.

“Perkara yang ingin SME Corp lihat adalah kebergantungan dan hubungan yang difikirkan tidak berlaku dengan baik antara PKS dan syarikat besar ketika ini. Menerusi dapatan kajian ini, kita akan dapat mengetahui kepastiannya,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp dan UPM.

Dalam majlis berkenaan, SME Corp diwakili Hafsah, manakala UPM diwakili Timbalan Canselornya, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Sementara itu, ketika ditanya hasrat SME Corp mengenai pembentangan Bajet 2018 yang akan diumumkan pada Jumaat ini, Hafsah berkata, pihaknya meminta supaya kerajaan dapat mengumumkan perkara yang mesra PKS iaitu sesuatu yang boleh memberi kesan kondusif kepada golongan berkenaan.

Katanya, aktiviti merangsang pembangunan PKS selari dengan kehendak industri 4.0 adalah antara perkara yang dipohon SME Corp menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk dicadangkan kepada kerajaan.

“Kita juga harapkan sekiranya kerajaan dapat mempertimbang pengecualian cukai kepada PKS sekiranya mereka melaksanakan usaha yang baik seperti penerapan aktiviti industri 4.0 di dalam perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 4:44 AM