Keadaan gerai makan yang turut dilanda banjir kilat di kawasan Mak Mandin, Butterworth.
Keadaan gerai makan yang turut dilanda banjir kilat di kawasan Mak Mandin, Butterworth.
HM Digital

Butterworth: “Alhamdulillah, walaupun gerai kami dinaiki air hingga 0.3 meter, masih ramai pelanggan datang seolah-olah makan di restoran terapung pula,” kata peniaga nasi campur di Mak Mandin, di sini, Naina Mohamad Mustaffa, 67, semalam.

Menurutnya, walaupun gerainya dan kawasan sekitar dinaiki air akibat banjir kilat, situasi itu tidak menjadi halangan dia membuka perniagaan seperti biasa memandangkan dia dan isteri, Umi Kalsom A Bakar, 62, memasak lauk-pauk sejak awal pagi semalam biarpun menyedari keadaan hujan berterusan.

“Saya dan isteri tetap meneruskan perniagaan kami hari ini (semalam) kerana sudah menyediakan lauk-pauk.

“Dalam keadaan hujan, kami tetap membuka gerai yang beroperasi seawal jam 4.30 pagi hingga 3 petang kerana ramai pelanggan kami daripada pekerja kilang sekitar kawasan Mak Mandin ini,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia yang menetap di Kampung Baru Mak Mandin tidak jauh dari gerainya bersyukur keadaan banjir kilat yang melanda semalam tidak serius seperti banjir besar November tahun lalu hingga menenggelamkan gerai dan kediamannya.

Menurutnya, faktor pembangunan pesat di kawasan itu dikatakan punca kerap banjir kilat apabila sistem perparitan tidak diurus dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 8:08 AM