FOTO hiasan. FOTO RAMDZAN MASIAM
FOTO hiasan. FOTO RAMDZAN MASIAM
Siti Azila Alias


HUJAN lebat lewat petang ini menyebabkan 58 kawasan di Pulau Pinang dinaiki air.

Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh berkata, majoriti kawasan terjejas membabitkan laluan sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

Sementara itu, antara laluan dinaiki air ialah di Jalan Juru, Taman Sentul, Jalan Tengah Kampung Juru, Kampung Tersusun Juru, Taman Pinang, Taman Mangga, Kampung Besar, Taman Sukun, Kampung Tok Elong, Taman Guru, Permatang Rawa dan Mak Mandin.

“Selain Seberang Perai, enam kawasan di daerah Timur Laut turut dilanda banjir kilat berikutan hujan sejak jam 4 petang.

“Kawasan terjejas adalah di Jalan P Ramlee, Jalan Van Pragh, Jalan Terengganu, Lorong Hijau, Kampung Dodol dan Lintang P Ramlee,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua kawasan terbabit dinaiki air antara 0.1 hingga 0.2 meter, namun keadaan setakat ini masih terkawal.

Beliau berkata, selain hujan lebat berterusan, masalah sistem perparitan tidak dapat menampung jumlah aliran air menyumbang kepada bencana ini selain faktor kawasan rendah.

Berikutan itu, Phee berkata, tindakan mengorek dan mendalamkan sungai akan dibuat di kawasan dikenal pasti sebagai penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat.

“Di samping itu, kerja menaik taraf sistem perparitan juga akan dilakukan selain melaksanakan pembersihan dan penyelenggaraan bagi memastikan tiada halangan terhadap sistem saliran dan sungai sedia ada.

“Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pinang pula akan dilaksanakan sebagai pelan jangka masa panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 9:20 PM