MICK  mengemas kedainya di Ampang Park setelah ditutup sepenuhnya.
MICK mengemas kedainya di Ampang Park setelah ditutup sepenuhnya.
Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Selepas tempoh pengosongan diberikan, pusat beli-belah Ampang Park kini sunyi tanpa kehadiran pengunjung.

Pun begitu, hanya segelintir peniaga masih dilihat mengemas pelbagai barangan untuk kali terakhir sebelum operasi pusat itu ditutup pada waktu tengah hari.

Peniaga kedai telekomunikasi dan aksesori, Mick Low Teck Loong, 29, berkata, kedainya menjadi tumpuan pelanggan sehinggakan dia tidak berkesempatan untuk memindahkan barang jualannya.

“Aksesori dan telefon yang dijual pada harga rendah menarik perhatian orang ramai untuk membeli-belah di saat akhir.

“Saya terpaksa menjual semua barang pada harga murah untuk menghabiskan stok dan mengurangkan jumlah barang dan peralatan ketika berpindah,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Mick, dia berasa kecewa dan sedih kerana terpaksa berpindah dari kedai yang sudah diusahakan selama 22 tahun bersama saudaranya.

Katanya, dia akan memulakan perniagaan yang sama di kiosk di Megan Avenue memandangkan belum menemui mana-mana kedai yang sesuai dengan bajetnya.

Bermula semalam, orang ramai tidak lagi dibenarkan memasuki Ampang Park yang dikawal pengawal keselamatan kerana masih terdapat premis yang belum dikosongkan sepenuhnya.

Sebahagian premis pula menampal notis pemberitahuan pada pintu kedai kerana masih belum menerima Borang K daripada Pejabat Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar pihak tertentu tidak mengalih atau merosakkan harta mereka.

Kompleks beli belah pertama di Malaysia ini dibina pada 1972 dan beroperasi pada 15 Mac 1973, mempunyai 250 lot premis yang menjual dan menyediakan pelbagai barangan serta perkhidmatan untuk warga kota.

Ia bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 11:15 AM