Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: “Di sini jodoh pertemuan saya dengan isteri yang saya nikahi selama 24 tahun,” kata bekas Penolong Pengurus Pertama McDonald’s Ampang Park, Azman Abdullah, 55.

Katanya, dia bekerja di restoran makanan segera itu sejak ia mula beroperasi di pusat beli-belah Ampang Park pada tahun 1989.

“Isteri ketika itu pelanggan dan saya mula terpikat padanya ketika pertama kali dia menikmati makanan di sini.

“Seperti mana pelanggan lain, saya menawarkan perkhidmatan yang baik dan berusaha memenangi hatinya dengan pelbagai hidangan di McDonald’s,” katanya yang ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Penutupan pusat beli-belah Ampang Park turut memberi impak kepada restoran makanan segera McDonald’s apabila menerima kunjungan ramai pelanggan setianya semalam untuk meraikan hari terakhir restoran itu selama 28 tahun di sana.

Restoran berkenaan bakal beroperasi di The Intermark, Jalan Tun Razak pada bulan ini.

Menurut Azman, beliau belajar untuk berdikari dan berani menghadapi orang ramai selepas menerima pelbagai pengalaman di restoran itu.

PENGUNJUNG mengunjungi Ampang Park pada hari terakhir.
PENGUNJUNG mengunjungi Ampang Park pada hari terakhir.

“Saya pemalu orangnya, tetapi selepas beberapa bulan saya mampu menghadapi bermacam jenis pelanggan dan menyelesaikan masalah tanpa mengira bangsa.

“Zaman kami dulu semua tugasan dibuat secara manual daripada menghidang, memasak hinggalah mencuci berbanding sekarang banyak menggunakan mesin,” katanya yang berkhidmat selama tujuh tahun.

Sementara itu, Adnan Mohamad, 57, menganggap kenangan manisnya di sini sudah berakhir sebagaimana robohnya pusat beli-belah pertama Malaysia itu.

“Di sini tempat saya berlibur dan membeli-belah sejak zaman bujang sehinggalah saya berkeluarga pada 1987.

“Sukar untuk mencari kedai yang mampu menawarkan perkhidmatan dengan harga yang bagus malah saya mengenali setiap peniaga di bangunan ini,” katanya yang berkhidmat di Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA),” katanya.

Menurut Adnan, selain kedai pakaian, dia sering membawa keluarganya untuk menikmati hidangan di kedai makanan yang terletak di aras atas bangunan itu.

Sehingga hari terakhir, dia masih membawa isteri dan dua anaknya untuk membeli-belah dan mengabdikan kenangan di Ampang Park sebelum ia dirobohkan bagi tujuan pembangunan.

Hari terakhir operasi Ampang Park semalam menyaksikan orang ramai berpusu-pusu mengambil peluang untuk membeli-belah apabila kebanyakan kedai menjual barangan dengan harga terendah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 11:20 AM
Dari kiri, Adnan Mohamad, 57, bersama keluarganya, Aizzatul Izzah Adnan, 29, Amirul Aizzat Adnan, 26 dan Nooriza Ismail, 55, merakam foto sebagai kenangan di hadapan  Ampang Park.
Dari kiri, Adnan Mohamad, 57, bersama keluarganya, Aizzatul Izzah Adnan, 29, Amirul Aizzat Adnan, 26 dan Nooriza Ismail, 55, merakam foto sebagai kenangan di hadapan Ampang Park.