MICK Schumacher memandu jentera Ferrari yang pernah membawa bapanya Micheal menjulang kejuaraan Formula Satu pada 2004 sewaktu Grand Prix Jerman.
MICK Schumacher memandu jentera Ferrari yang pernah membawa bapanya Micheal menjulang kejuaraan Formula Satu pada 2004 sewaktu Grand Prix Jerman.
Reuters

MICK Schumacher melangkah masuk ke jentera Ferrari yang pernah membawa bapanya Micheal menjulang kejuaraan Formula Satu pada 2004 sewaktu Grand Prix Jerman malam tadi dan ia benar-benar sepadan.

Pelumba berusia 20 tahun yang beraksi dalam Formula Dua melakukan pemanduan demonstrasi di Hockenheim dengan jentera F2004 yang pernah menjulang bapanya meraih 13 kemenangan dalam 18 perlumbaan dan gelaran ketujuh yang juga terakhir.

Michael menang empat kali di trek Jerman itu, sekali gus melonjakkan populariti sukan itu ke tahap tertinggi di negara kelahirannya.

“Sesuatu yang menakjubkan dapat memandu kereta di sini apatah lagi ini kereta yang pernah dipandu ayah dan semuanya nampak serasi,” kata pelumba muda itu yang turut memandu jentera Benetton 1994 di litar Spa-Francorchamps di Belgium pada 2017.

“Dapat memandu V10 (enjin) dan merasai bagaimana perasaannya jelas sekali sesuatu yang amat istimewa,” kata Mick yang menyarung topi keledar yang menggabungkan elemen dimiliki bapanya pada 2004 dan juga dirinya.

Mick, ahli akademi pelumba muda Ferrari dan pernah menguji jentera terkini, naik ke Formula Dua tahun ini selepas menjulang kejuaraan Formula Tiga.

Ketika ini di tangga ke-15 keseluruhan, Mick menempuhi musim tidak menentu dengan kedudukan tempat keempat di Austria bulan lalu adalah yang terbaik buatnya setakat ini.

“Saya fikir Mick menunjukkan aksi yang bagus,” kata ketua pasukan Toro Rosso Franz Tost yang bekerja dengan bapa saudara Mick, Ralf Schumacher di Williams.

“Dia mempamerkan perlumbaan yang bagus, ada ketikanya dia mengalami kemalangan tetapi ia tahun untuknya belajar. Saya yakin dia akan menempa laluan ke Formula Satu.”

Michael tidak lagi dilihat umum sejak mengalami kecederaan kepala dalam kemalangan ski pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 10:40 AM