Mohd Hafizee Mohd Arop


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan dua anggota polis yang terbabit dalam kegiatan samun sehingga membabitkan kerugian RM12,300 di Kampung Rapat Ipoh, awal pagi kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KDN tidak pernah malah tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian jenayah yang dilakukan pegawai atau anggota polis.

Katanya, salah guna kuasa membabitkan kegiatan jenayah adalah kesalahan berat yang sudah pasti akan diambil tindakan tegas demi memastikan keselamatan masyarakat di negara ini.

"Salah guna kuasa dengan menjadi penjenayah sudah pasti akan diambil tindakan tegas dan kita sama sekali tidak akan bertolak ansur kerana keutamaannya adalah soal keselamatan.

"KDN komited, PDRM (Polis Diraja Malaysia) komited, soal jenayah tiada pilih bulu," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) daerah Bagan Datuk pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk di SJKC Chong San di Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pihak melakukan jenayah terutamanya penguatkuasa yang seharusnya menjadi pelindung kepada keselamatan masyarakat.

Harian Metro semalam melaporkan, empat lelaki termasuk seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di Kampung Rapat, Ipoh, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, pegawai polis Inspektor polis berusia 43 tahun manakala dua Lans Koperal berusia 27 dan 35 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar Ipoh.

Turut ditahan, seorang penganggur berusia 32 tahun dan semua suspek dipercayai mengugut dengan meminta wang daripada mangsa supaya dilepaskan daripada dibawa ke balai polis selepas dikatakan menemui barang dipercayai dadah di rumah itu.

Semua suspek yang ditahan direman enam hari bermula semalam hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:57 PM