AHMAD Zahid  menunggang motosikal ke Masjid As Saadah selepas melawat Sekolah Kebangsaan Sungai Dulang Dalam, Sungai Sumun, semalam.
AHMAD Zahid menunggang motosikal ke Masjid As Saadah selepas melawat Sekolah Kebangsaan Sungai Dulang Dalam, Sungai Sumun, semalam.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Bagan Datuk: Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan dua anggota polis yang terbabit dalam kegiatan samun sehingga membabitkan kerugian RM12,300 di Kampung Rapat Ipoh, awal pagi Rabu lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KDN tidak pernah dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kegiatan jenayah yang dilakukan pegawai atau anggota polis di negara ini.

Katanya, salah guna kuasa membabitkan kegiatan jenayah adalah kesalahan berat yang sudah pasti akan diambil tindakan tegas demi memastikan keselamatan masyarakat di negara ini.

“Salah guna kuasa dengan menjadi penjenayah sudah pasti akan diambil tindakan tegas dan kita sama sekali tidak akan bertolak ansur kerana keutamaannya adalah soal keselamatan.

“KDN komited, PDRM (Polis Diraja Malaysia) komited, soal jenayah tiada pilih bulu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
Daerah Bagan Datuk pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk di SJKC Chong San, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melakukan jenayah terutamanya penguat kuasa yang seharusnya menjadi pelindung kepada keselamatan masyarakat.

Harian Metro semalam melaporkan, empat lelaki termasuk seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di Kampung Rapat, Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 8:42 AM