Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan pembabitan kumpulan kongsi gelap dalam industri kawalan keselamatan di negara ini adalah di tahap rendah dan terkawal.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini hasil maklumat dan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kegiatan kongsi gelap dalam syarikat keselamatan hanya berlaku di Selangor.

Katanya, sehubungan itu rakyat tidak perlu bimbang atas peristiwa itu kerana kementerian dan PDRM sudah mengambil tindakan tegas dan pantas bagi menangani masalah itu.

Beliau berkata, kementerian tidak akan bertolak ansur terhadap syarikat kawalan keselamatan dan akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen operasi serta-merta jika didapati melakukan kesalahan itu.

"Di sini saya ingin mengingatkan tidak akan ada tolak ansur kepada mana-mana syarikat kawalan keselamatanyang dilesen oleh KDN yang terbabit dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai sejauh mana seriusnya pembabitan kongsi gelap dalam syarikat keselamatan di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Zahid berkata, dalam insiden pada 18 April lalu, seramai 19 orang yang ditangkap kerana disyaki terbabit kegiatan berkenaan dan daripada jumlah itu tujuh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh manakala 12 lagi ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 atau POCA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 1:55 PM