Keputusan ujian dadah terhadap gula-gula bintang yang dikeluarkan Pusat Racun Negara USM.
Keputusan ujian dadah terhadap gula-gula bintang yang dikeluarkan Pusat Racun Negara USM.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Gula-gula berbentuk bintang yang didakwa menyebabkan beberapa murid sekolah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pening dan khayal baru-baru ini tidak mengandungi dadah.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah membuat membuat ujian makmal terhadap gula-gula berkenaan di Pusat Racun Kebangsaan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 10 Mei lalu.

"Keputusan ujian yang dikeluarkan pada 17 Mei lalu mendapati gula-gula itu tidak mengandungi sebarang bahan terlarang atau dadah.

"Jadi, kemungkinan besar gejala pening, khayal dan kejang otot yang dihadapi oleh beberapa murid tahun satu hingga tiga sebuah sekolah di Pulau Pinang selepas memakan gula-gula yang dibeli di luar sekolah mungkin disebabkan oleh faktor lain seperti gula-gula sudah tercemar dan sebagainya,"katanya.

Sehubungan itu, AADK berharap penjelasan ini memberi kelegaan kepada masyarakat terutama ibu bapa yang bimbang mengenai keselamatan serta kesihatan anak mereka ketika berada di sekolah.

Pada 6 Mei lalu, Harian Metro melaporkan beberapa murid murid tahun satu hingga tiga sebuah sekolah rendah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang mengalami pening, khayal dan kejang otot selepas mendakwa memakan gula-gula

berbentuk bintang yang dibeli di luar sekolah.

Berikutan itu, ada murid yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tasek Gelugor sebelum dirujuk ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Seorang daripada murid berkenaan mendakwa dia rasa pening dan seperti khayal selepas memakan lapan biji gula-gula berkenaan yang dibeli rakannya di luar kawasan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 3:55 PM