ANGGOTA  JPJ giat  menjalankan operasi penguatkuasaan       Op  Patuh 2, semalam.
ANGGOTA JPJ giat menjalankan operasi penguatkuasaan Op Patuh 2, semalam.
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: “Tolonglah encik jangan saman, saya ada RM100, boleh la settle.” Itu antara rayuan seorang pemandu lori yang didapati bersalah selepas menggunakan telefon bimbit ketika memandu di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala Klang, semalam.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia awal 40-an itu sia-sia selepas dia tetap diberikan kompaun maksimum RM300 oleh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang mengesan kesalahannya.

Dalam operasi bermula jam 10 pagi semalam, kawasan rondaan operasi di sekitar Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan beberapa jalan bandaran di Shah Alam.

Ketua Seksyen Penguatkuasa JPJ Selangor Mohd Azlan Shah Othman berkata, antara kesalahan diberi tumpuan ialah memandu di lorong kecemasan, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta tidak memakai tali pinggang keledar.

Beliau berkata, pihaknya memulakan operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Op Patuh 2 itu sejak 24 November lalu dan berakhir pada 31 Disember ini.

“Jika sebelum ini operasi dijalankan pada musim cuti perayaan, namun kini turut dilakukan pada hari cuti melebihi tiga hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 11:36 AM