Azimah bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas. FOTO  Hasriyasyah Sabudin
Azimah bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


SELEPAS cubaan menyeludup rokok pada bulan lalu gagal, sindiket didapati tidak serik apabila sekali lagi dikesan melakukan tindakan sama.

Bagaimanapun cubaan kali kedua sindiket berkenaan untuk menyeludup 150,000 kotak rokok melalui jalan udara sekali lagi dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan.

Rokok berjenama Canyon yang tiba melalui penerbangan kargo dari Ho Chi Minh, Vietnam itu dirampas di MAS Cargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira 4 petang, Ahad lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM Datuk Azimah Abd Hamid berkata, ketika serbuan dilakukan, barangan terbabit yang diikrarkan sebagai barangan am dan pelbagai itu baru melepasi proses dokumentasi di terminal kargo.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui 150,000 kotak rokok yang bernilai RM240,000 membabitkan anggaran cukai RM2.1 juta.

"Pasukan menyita rokok berkenaan kerana disyaki diimport tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah. Ia dibawa masuk oleh sebuah syarikat perdagangan milik tempatan, namun siasatan lanjut mendapati syarikat berkenaan tidak wujud," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Negeri Sembilan, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKDM Negeri Sembilan Datuk Abdullah Jaapar.

Menurut Azimah, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan pihaknya masih giat mengesan pemilik syarikat yang dipercayai menjadi dalang penyeludupan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan supaya menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855.

Untuk rekod, sejak Januari hingga 13 Disember tahun ini, JKDM Negeri Sembilan berjaya menghasilkan sebanyak 184 kes membabitkan pelbagai komoditi antaranya rokok, arak, kenderaan dengan nilai serta cukai sebanyak RM26.937 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 4:29 PM