Amiruddin yang cedera di kiri kepala, tengkuk dan tangan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selepas dilanggar ketika menyertai Larian Klang City International Marathon di Jalan Kapar Batu 2, Klang. FOTO Faliq Lajim
Amiruddin yang cedera di kiri kepala, tengkuk dan tangan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selepas dilanggar ketika menyertai Larian Klang City International Marathon di Jalan Kapar Batu 2, Klang. FOTO Faliq Lajim
Hayati Ibrahim


ACARA Klang City International Marathon dianjurkan tanpa kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan selaku pihak yang mengawal selia sebarang penganjuran acara sukan dalam negara.

Justeru, Pesuruhjaya Sukan Malaysia Datuk Zaiton Othman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas penganjur acara ini atas kesalahan yang dilakukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997.

Beliau berkata, ia kerana pihaknya tidak menerima sebarang permohonan bagi mendapatkan lesen penganjuran acara berkenaan.

"Perkara ini amat kami kesali kerana sebarang penganjuran acara sukan perlulah mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan sebagaimana termaktub mengikut Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997, di samping badan pengelola sukan yang terbabit, polis dan pihak berkuasa tempatan.

"Perkara ini adalah diwajibkan bagi memastikan penganjur yang akan menganjurkan acara sukan benar-benar berkemampuan dari aspek kewangan, teknikal serta mematuhi kaedah dan garis panduan yang ditetapkan oleh badan pengelola sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Zaiton turut mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang acara sukan supaya memohon dan mendapatkan kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan sebelum acara itu dianjurkan.

Katanya, penganjur juga diingatkan supaya mematuhi keputusan yang diberikan terhadap permohonan yang dibuat.

"Ini bagi memastikan penganjuran dilaksanakan hanya selepas semua peraturan dipatuhi dan langkah-langkah yang perlu diambil, demi kelicinan acara dan keselamatan semua.

"Pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak penganjur melanggar arahan ini," katanya.

Menurutnya, bermula 14 Disember ini, pejabat Pesuruhjaya Sukan akan memuatnaik senarai acara sukan yang sudah diberikan kebenaran untuk dilaksanakan di laman sesawang Kementerian Belia dan Sukan.

"Saya juga ingin merakamkan rasa sedih dan simpati kami kepada tiga pelari yang terbabit dan mengalami kecederaan dalam kemalangan itu dan berdoa supaya mereka akan pulih dengan segera," katanya.

Dalam kejadian 4.30 pagi semalam tiga peserta acara maraton berkenaan iaitu Amiruddin Hamid, 37, Ahmad Hadafi Jus, 42, dan Evelyn Ang Gek Suan, 44, cedera dilanggar Proton Iswara dari arah belakang ketika berlari di Jalan Kapar, Batu 2, Selangor.

Akibat rempuhan itu, Amiruddin cedera di kiri kepala, tengkuk dan tangan, manakala Ahmad Hadafi hanya cedera di kaki.

Bagaimanapun, Evelyn Ang parah di kepala dan berada di dalam keadaan kritikal di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Berita berkaitan

Maraton ke hospital

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 1:31 PM