Rosmizar  menemani  Amiruddin yang cedera di bahagian kiri kepala, tengkuk dan tangan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, semalam.
Rosmizar menemani Amiruddin yang cedera di bahagian kiri kepala, tengkuk dan tangan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, semalam.
Siraj Mohd Zaini dan Faliq Lajim

[email protected]

Klang: “Saya tak ingat macam mana kejadian tu boleh berlaku. Bila sedar, saya sudah di atas ambulans dan diberitahu sedang menuju ke hospital sebelum pengsan semula,” kata Amiruddin Hamid, 37, salah seorang mangsa yang dirempuh ketika menyertai acara larian Klang City International Marathon, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, dia dan dua lagi peserta iaitu Ahmad Hadafi Jus, 42, serta Evelyn Ang Gek Suan, 44, dilanggar kereta Proton Iswara dari arah belakang ketika berlari di Jalan Kapar, Batu 2.

Akibat rempuhan itu, Amiruddin cedera di bahagian kiri kepala, tengkuk dan tangan, manakala Ahmad Hadafi hanya cedera di kaki, namun Evelyn Ang parah di bahagian kepala dan kini berada di dalam keadaan kritikal di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Isteri Amiruddin, Rosmizar Ishak, 34, berkata, dia terkejut dan panik selepas dimaklumkan suaminya terbabit dalam kemalangan pada awal pagi berkenaan.

“Saya menemaninya sebelum permulaan maraton itu, dan selepas itu saya pulang, sempat juga berbalas mesej dengan suami ketika acara itu bermula dan dia juga ada menghantar gambar ketika dia tiba di checkpoint 14.

“Namun tidak sampai setengah jam kemudian, ada polis telefon dan maklumkan suami terbabit dengan kemalangan tidak jauh dari checkpoint itu,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, pihak penganjur Klang City International Marathon di dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook (FB) berkata, insiden itu berlaku pada jarak 14 kilometer (km) dari tempat permulaan dan bersedia bekerjasama dengan pihak polis bagi menyiasat kemalangan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila lelaki berusia 28 tahun yang memandu Proton Iswara itu merempuh bahagian belakang peserta larian ketika melalui jalan berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang terbabit dengan kemalangan itu dikejarkan ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu kenderaan sudah diambil ujian air kencing untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 9:44 AM