KHAIRY (kanan) akui perlukan masa untuk selesai proses kerana ia melibatkan semua persatuan negeri dan banyak perkara yang perlu difikirkan. -Foto OSMAN ADNAN
KHAIRY (kanan) akui perlukan masa untuk selesai proses kerana ia melibatkan semua persatuan negeri dan banyak perkara yang perlu difikirkan. -Foto OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat


PROSES pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 kini di peringkat terakhir sebelum dibentangkan di Parlimen, Mac depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar namun menegaskan beliau tidak mampu memberi sebarang jaminan ia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, cadangan pindaan itu kali pertama dilakukan sekali gus banyak perkara yang perlu dikaji dengan terperinci kerana ia tidak hanya membabitkan sesetengah isu.

“Pindaan ini membabitkan semua persatuan negeri, jadi ia mengambil sedikit masa kerana banyak perkara yang perlu difikirkan.

“Ingin saya jelaskan bahawa pindaan akta itu sudah di peringkat terakhir dan pegawai undang-undang KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sedang meneliti segala butiran untuk dihantar kepada Jabatan Peguam Negara secepat mungkin,” katanya ketika merasmikan Kick-Off Autisme@KBS, di sini hari ini.

Sementara itu Khairy turut terkilan dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) hanya bertindak apabila timbul sesuatu isu.

Tegas Khairy, tanggapan itu tidak adil kerana PPS adalah badan yang bertindak memainkan peranan sebagai pegawai selia dan bukannya agensi penguat kuasa.

Isu membabitkan pindaan akta ini mula diperkatakan selepas berlakunya kemalangan membabitkan tiga peserta maraton, Ahad lalu.

Penganjurnya, Klang City International Marathon dilaporkan menganjurkan perlumbaan berkenaan tanpa kebenaran PPS selaku pihak mengawal selia sebarang acara penganjuran dalam negara.

Mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997, sebarang penganjuran sukan perlu mendapat kelulusan PPS, di samping keperluan penganjur mendapatkan kebenaran badan pengelola sukan terbabit termasuk polis, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

Jika disabit kesalahan penganjur boleh dikenakan denda RM5,000 dan hukuman penjara tidak lebih enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 7:17 PM