TEOH hadir ke Mahkamah Majistret Klang bagi keputusan pertuduhan pindaan memandu laju hingga menyebabkan kematian peserta maraton, dua tahun lalu. FOTO Saddam Yusoff.
TEOH hadir ke Mahkamah Majistret Klang bagi keputusan pertuduhan pindaan memandu laju hingga menyebabkan kematian peserta maraton, dua tahun lalu. FOTO Saddam Yusoff.
Iskandar Shah Mohamed


SEORANG mekanik dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas tuduhan memandu laju secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang peserta larian Klang City International Marathon, dua tahun lalu.

Majistret Roslizi Sulaiman menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Teoh Thiam Lim, 30.

Selain itu, tertuduh juga didenda RM7,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu dalam tempoh tiga tahun.

Mengikut pertuduhan, Teoh didakwa memandu sebuah Proton Iswara secara melulu atau dengan laju atau dengan cara membahayakan hingga menyebabkan kematian Evelyn Ang Gek Suan, 45.

Perbuatan itu dilakukan di Batu 2, Jalan Kapar, Klang, kira-kira jam 4.30 pagi, 10 Disember 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 serta lesen memandu digantung mininum tiga tahun daripada tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Roslizi dalam penghakimannya berkata, mahkamah sudah meneliti keseluruhan hujah dan keterangan kedua-dua pihak.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh disabitkan bersalah atas kesalahan memandu hingga menyebabkan kematian mendiang,” katanya.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Ravi Nekoo merayu hukuman ringan berikutan ia kesalahan pertama anak guamnya yang turut menanggung ibunya berusia 60 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Ermadieyani Ismadi bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada orang awam termasuk tertuduh selain kejadian itu memberi kesan mendalam kepada keluarga mangsa.

Roslizi turut menolak permohonan pihak pembelaan bagi penangguhan hukuman berikutan tiada keadaan khas wujud dalam kes itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang parah manakala dua lagi peserta larian itu cedera selepas dilanggar Proton Iswara dari arah belakang di lokasi kejadian.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, larian bermula dari Stadium Pandamaran dan mangsa yang terbabit adalah mendiang Evelyn Ang, Amiruddin Hamid, 37, dan Ahmad Hadafi Jus, 42.

Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta itu merempuh bahagian belakang peserta larian ketika melalui jalan berkenaan.

Evelyn Ang parah di kepala dan rahang, Amiruddin cedera di kepala manakala Ahmad Hadafi pula cedera di kaki.

Selepas hampir tiga bulan bertarung nyawa, Evelyn Ang yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh disahkan meninggal dunia pada jam 1.13 pagi, 1 Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:46 PM