DR Musa (kiri)  membuat lawatan di Kampung Sungai Tangkarason, Sabah.
DR Musa (kiri) membuat lawatan di Kampung Sungai Tangkarason, Sabah.
HM Digital

Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membantu membangunkan projek telaga air dan perahu untuk kegunaan penduduk Kampung Sungai Tangkarason, Sabah yang hidup serba kekurangan.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Musa Ahmad berkata, pihaknya mengumpul dana daripada badan korporat untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan itu yang masih ketinggalan.

Katanya, pemerhatian mendapati penduduk sukar mendapatkan air bersih, bekalan elektrik dan jalan sempurna.

“Atas keprihatinan, USIM akan membangunkan telaga air menggunakan pam secara berpusat. Kami memerlukan enam bulan mengumpulkan wang,” katanya yang melawat kampung itu di Beluran, semalam.

Beliau diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM Profesor Datuk Dr Hasan Basri Awang Mat Dahan dan lima pegawai kanan universiti.

Dr Musa berkata, penduduk ketika ini menggunakan air hujan dan air sungai untuk kegunaan seharian.

Kunjungan ke kampung itu bertujuan meninjau enam penuntut USIM yang menjalankan aktiviti kemasyarakatan di bawah Islamic Relief Malaysia (IRM).

“Penuntut berkenaan terbabit dengan aktiviti di Kampung Sambah, Tangkarason, Tegupi Laut dan Sayap. Sebaik memerhatikan kesukaran di Kampung Tangkarason, kami mahu membantu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, murid serta pelajar ke sekolah menggunakan sungai dan memerlukan perahu bersesuaian.

“Pihak USIM juga mengiktiraf Kampung Tangkarosan sebagai kampung angkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 8:28 AM