MUSA dan Ikon IRM, Diana Amir bersama wakil IRM dan penduduk kampung mencuba air bersih dari Projek Aqua. FOTO Ihsan USIM
MUSA dan Ikon IRM, Diana Amir bersama wakil IRM dan penduduk kampung mencuba air bersih dari Projek Aqua. FOTO Ihsan USIM

KIRA-KIRA 3,000 penduduk menarik nafas lega apabila menerima bekalan air bersih menerusi Projek Aqua Kampung Tagupi Laut, di Lahad Datu, semalam.

Projek dijalankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama sektor Water, Sanitation and Hygiene di bawah Islamic Relief Malaysia (IRM) menelan kos RM20,000 sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di kampung terbabit.

Ia digerakkan mahasiswa USIM yang terbabit dalam program Sukarelawan Gap Year bersama IRM dan usaha ini bagi memastikan penduduk mendapat sumber air bersih dan bebas daripada penyakit.

Penyerahan rasmi projek ini kepada penduduk Kampung Tagupi Laut disempurnakan Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad.

Sementara itu, Dr Musa berkata, Projek Aqua memberi manfaat besar kepada penduduk kerana sistem ini bersistematik yang menyalurkan sumber air ke kawasan penduduk, agrikultur dan masjid.

Beliau berkata, USIM dan IRM berhasrat membantu komuniti Kampung Tagupi Laut supaya bergerak seiring dengan arus perdana perkembangan ekonomi di Sabah.

“Justeru, projek Aqua ini adalah salah satu inisiatif bagi komuniti mendapat bekalan asas iaitu air bersih yang mampu meningkatkan taraf hidup setempat.

“Kita menyedari proses membasmi kemiskinan di Sabah punyai kekangan yang besar terutamanya cabaran geografi dan demografi tetapi dengan keprihatinan pelbagai pihak seperti dilakukan USIM dan IRM ini, ia dapat diatasi secara kolektif,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Kanan Program Domestik IRM Mohammad Syakir Mohd Sarib dan Pengasas Kampung Tagupi Laut Surail Abdul Kahar.

USIM sendiri amat menekankan aspek kesukarelawan kepada mahasiswa kami kerana ia adalah misi dakwah.

Dua siswi Gap Year USIM yang menjayakan Projek Aqua ini adalah Maryam Nur Imran dan Rabaatul Adawiyah Junus yang juga penuntut tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Mereka berdua menangguhkan pengajian selama setahun untuk terbabit sepenuh masa dengan misi kesukarelawanan IRM bermula September tahun lalu hingga September tahun ini.

Pada majlis ini juga, USIM memberi komitmen membantu IRM untuk memperkasakan Pusat Pembangunan Minda Insan yang ditubuhkan di Kampung Tagupi Laut ini sejak 2012.

Pusat ini berperanan menyediakan pendidikan yang setaraf dengan arus perdana bagi pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 12:41 PM