Zaid Salim

Kuala Nerus: Penggunaan telaga bagi mendapatkan sumber air mungkin dianggap ketinggalan zaman kerana kaedah itu dikatakan sinonim dengan kehidupan masyarakat dahulu.

Namun, kaedah yang dianggap kuno itu menjadi kelebihan kepada penduduk untuk mendapatkan sumber air ketika bekalan air yang disalurkan kerajaan terputus.

Bagi penduduk Kampung Bukit Agu dan Bukit Chempaka, di sini, telaga menjadi 'penyelamat' kepada mereka sejak bekalan air terputus sejak sebelas hari lalu berikutan paip di dasar Sungai Terengganu berhampiran jeti Kampung Losing Feri dan Bukit Datu, di sini, yang menyalurkan air ke tangki utama Berangan, di sini, pecah Isnin minggu lalu.

Penduduk, Mohd Zauki Abdullah, 51, dari Kampung Bukit Agu, berkata, telaga menjadi satu keperluan kepada penduduk di dua kampung berkenaan mendapatkan sumber air untuk keperluan harian.

Dia yang juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan berkata, terdapat hampir 200 keluarga di dua kampung berkenaan dan kebanyakan daripada mereka memiliki telaga telaga yang dibina keluarga terdahulu dan digunakan secara turun-temurun untuk generasi masa kini.

PENDUDUK menggunakan telaga di di Kampung Bukit Chempaka. FOTO Zaid Salim
PENDUDUK menggunakan telaga di di Kampung Bukit Chempaka. FOTO Zaid Salim

Katanya, air telaga mempunyai khasiat tersendiri kerana punca air datang daripada mata air.

"Telaga yang saya gunakan ini dibina arwah ayah hampir 100 tahun lalu dan sehingga kini masih digunakan dan airnya yang jernih memang baik untuk kegunaan harian.

"Air telaga ini juga tidak pernah putus walaupun musim kemarau," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Katanya, telaga diperbuat daripada keret batu sungai itu bukan sahaja menjadi keperluan keluarganya, sebaliknya turut digunakan penduduk kampung yang tidak memiliki telaga mendapatkan bekalan air.

"Di saat bekalan air terputus, telaga memang menjadi 'penyelamat' kepada penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 10:56 PM