DR MUSA (lima kanan) dan artis Diana Amir (kanan) selaku Ikon IRM bersama penduduk kampung mencuba air bersih daripada Projek Aqua.
DR MUSA (lima kanan) dan artis Diana Amir (kanan) selaku Ikon IRM bersama penduduk kampung mencuba air bersih daripada Projek Aqua.
Fazurawati Che Lah


SENYUMAN gembira dan syukur terukir pada wajah penduduk Kampung Tagupi Laut apabila Projek Aqua yang membekalkan air bersih di kampung mereka siap sepenuhnya.

Projek yang amat bermakna bagi mereka itu adalah hasil sumbangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Water, Sanitation and Hygiene di bawah Islamic Relief Malaysia (IRM) yang dibina dengan kos berjumlah RM20,000.

Air bersih yang disalurkan itu akan memberi manfaat kepada 3,000 orang penduduk. Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad dalam ucapannya berkata, Projek Aqua digerakkan mahasiswa USIM yang terbabit dengan program kesukarelawanan Gap Year bersama IRM.

“Projek ini tercetus atas niat murni bagi memastikan penduduk kampung mendapat sumber air bersih dan bebas daripada penyakit.

“Ia akan memberi manfaat besar kepada penduduk kampung kerana projek ini mewujudkan sistem perpaipan bersistematik dari telaga ke kawasan penduduk, pertanian dan masjid.

“Pada masa sama, ia dapat meningkatkan kesedaran penduduk berkenaan kepentingan kebersihan dan sanitasi,” katanya yang turut merasmikan program berkenaan.

Katanya, USIM dan IRM berhasrat untuk membantu komuniti Kampung Tagupi Laut supaya bergerak seiring dengan arus perdana perkembangan ekonomi di Sabah.

“Projek Aqua ini ialah satu daripada inisiatif bagi komuniti mendapat bekalan asas iaitu air bersih yang mampu meningkatkan taraf hidup setempat.

“Kami menyedari proses membasmi kemiskinan di Sabah punyai kekangan besar terutamanya cabaran geografi dan demografi tetapi dengan keprihatinan pelbagai pihak seperti USIM dan IRM ini, ia dapat diatasi secara kolektif,” katanya.

Katanya, USIM sentiasa menekankan aspek kesukarelawan kepada mahasiswa kerana ia adalah misi dakwah dan pendedahan berterusan akan melahirkan mahasiswa yang seimbang, holistik, mengenal erti syukur serta istiqamah.

PENDUDUK Kampung Tagupi Laut gembira menerima sumbangan Projek Aqua USIM-IRM.
PENDUDUK Kampung Tagupi Laut gembira menerima sumbangan Projek Aqua USIM-IRM.

Dua siswi Gap Year USIM yang menjayakan Projek Aqua ini, Maryam Nur Imran dan Rabaatul Adawiyah Junus adalah pelajar tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Mereka berdua menangguhkan pengajian selama setahun untuk terbabit sepenuh masa dengan misi kesukarelawanan IRM bermula September tahun lalu hingga September 2019.

Pada majlis ini juga, USIM memberi komitmen akan membantu IRM untuk memperkasakan Pusat Pembangunan Minda Insan yang ditubuhkan di Kampung Tagupi Laut ini sejak 2012.

Pusat itu berperanan menyediakan pendidikan yang setaraf dengan arus perdana bagi pelajar prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:30 AM