Suspek ditahan ketika cuba umpil jeriji tingkap kedai makan. FOTO ihsan polis.
Suspek ditahan ketika cuba umpil jeriji tingkap kedai makan. FOTO ihsan polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


SEORANG lelaki ditahan anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melakukan rondaan bersama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Isnin lalu, ketika cuba memecah masuk sebuah kedai makan di Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggota polis dan ATM yang sedang melakukan rondaan 11.45 pagi di kawasan terbabit melihat suspek berusia 32 tahun dalam keadaan mencurigakan di belakang kedai makan itu.

“Suspek yang menggalas beg hitam didapati sedang mengumpil jeriji tingkap kedai makan itu.

“Suspek turut bertindak agresif ketika cuba ditahan. Pemeriksaan dalam beg dibawanya menemui pelbagai peralatan pecah rumah,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Rozi, suspek yang tidak bekerja turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan curi motosikal.

“Suspek direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 2:22 PM