Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI cedera ditikam kenalannya di dada dengan pisau di Jalan Tanjung Bendahara, di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata kejadian berlaku pada 7.30 pagi kelmarin.

Katanya, kejadian bermula apabila mangsa, 24, bertemu dengan suspek, 30, sebelum bertengkar akibat perselisihan faham lama.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengeluarkan pisau kecil sebelum terus menikam dada mangsa.

"Mangsa kemudian dibawa rakannya yang turut berada di lokasi kejadian ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

"Akibat kejadian itu mangsa cedera di dada kanan namun keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Mohd Rozi berkata, keterangan mangsa sudah direkodkan dan saksi kejadian yang berada bersamanya ketika itu memberitahu punca kejadian berikutan perselisihan faham lama yang masih tidak selesai.

“Susulan kejadian itu, polis kemudian mengesan suspek sebelum menahannya beberapa jam selepas kejadian.

“Suspek memberitahu sudah membuang pisau itu ke dalam sungai di Jalan Tanjung Bendahara.

“Dia kini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 3:27 PM