GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Ipoh: Polis menahan enam lelaki semalam disyaki terbabit dalam pergaduhan di hadapan Klinik Kesihatan Taiping, Jalan Tupai seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata kejadian yang berlaku pada Rabu lalu membabitkan seorang mangsa berusia 48 tahun.

"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 37 tahun.

"Polis turut merampas sebatang rotan dan kayu disyaki digunakan dalam pergaduhan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razlam berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada masalah keluarga.

"Dua daripada lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Kesemua yang ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan video kejadian kerana kes masih dalam siasatan selain mengelak daripada mendatangkan kebimbangan terhadap orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 9:24 PM