DUDUK dari kanan, Saifullah, Dr Nik Mohd Zawawi dan Abdul Hadi  pada sidang media perasmian Yemen Care, semalam.
DUDUK dari kanan, Saifullah, Dr Nik Mohd Zawawi dan Abdul Hadi pada sidang media perasmian Yemen Care, semalam.
Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Pertubuhan Cakna Yaman Malaysia (Yemen Care) komited meneruskan misi menyalurkan bantuan dan meringankan beban penduduk Islam di Yaman yang masih menjadi pelarian di negara sendiri.

Misi kali ketiga itu akan memberi tumpuan kepada kem Al-Khaniq dan di daerah Gouf yang terletak di sempadan Sana’a.

Pengerusi Yemen Care Saifullah Hasbu berkata, pihaknya memerlukan dana sebanyak RM300,000 bagi menyalurkan bantuan merangkumi aspek pendidikan dan keperluan harian seperti bekalan air bersih serta makanan.

“Bagi kem Al-Khaniq, pembinaan sekolah diperlukan untuk kegunaan kira-kira 3,600 orang. Manakala, kem daerah Gouf memerlukan bekalan air bersih harian dan makanan berikutan hampir 26,000 penduduk tempatan dijangkiti taun.

“Bantuan yang diterima masih belum mencapai sasaran dan kita berharap masyarakat Islam daripada pelbagai institusi atau pihak korporat menyalurkan dana sebelum bertolak ke Yaman pada 25 Disember ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Yemen Care, malam kelmarin.

Majlis itu dirasmikan oleh Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Kompleks Pendidikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (KODIM) Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh.

Hadir sama, sukarelawan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) Imran Selamat.

Katanya, misi bantuan ke Yaman diteruskan berikutan terdapat banyak kem pelarian di negara bergolak berkenaan amat memerlukan bantuan masyarakat dunia.

“Ketika dua misi pada 2015 dan tahun lalu, kita bersimpati melihat umat Islam di negara itu yang menjadi pelarian dan menagih pelbagai bantuan terutama keperluan harian.

“Justeru, kita mahu terus menyalurkan bantuan kepada kem pelarian lain walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi beliau menerusi talian 017-6758994 atau menghukurkan sumbangan ke akaun Yemen Care iaitu Maybank 562245510737 atau CIMB (8603144942).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:05 AM