PENDUDUK  menumpang berteduh di khemah usang.
PENDUDUK menumpang berteduh di khemah usang.
 PENDERITAAN  penduduk Islam Chad kian kritikal apabila negara itu diletakkan sebagai negara keempat termiskin di dunia.
PENDERITAAN penduduk Islam Chad kian kritikal apabila negara itu diletakkan sebagai negara keempat termiskin di dunia.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Lebih 14 juta rakyat Chad, negara di tengah benua Afrika dengan majoritinya beragama Islam kini hidup sengsara susulan krisis makanan yang kian meruncing.

Difahamkan, rakyat negara itu tambah dihimpit derita apabila Chad dilanda kemarau selain kebanjiran pelarian dari Cameroon, Niger and Nigeria.

Presiden Pertubuhan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) Zulkifli Wahijan berkata, penderitaan penduduk Islam Chad kian kritikal, apatah lagi negara itu diletakkan sebagai negara keempat termiskin di dunia.

“Berdasarkan maklumat terkini, kesengsaraan dialami jutaan penduduk Chad di tahap serius susulan krisis makanan, penyakit berjangkit selain isu pelarian yang menambahkan beban negara itu.

“Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang prihatin terhadap isu kebajikan global, masalah dialami penduduk Chad turut meruntun hati masyarakat Islam di negara ini.

“Komitmen bagi membantu rakyat Islam Chad turut ditunjukkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui kerjasama mengumpul dana serta bantuan khusus kepada penduduk negara itu,” katanya.

Menurutnya, usaha mengumpul dana turut dilakukan Persatuan Kejuruteraan Awam (Peka), UTM Accounting Club (UTMAC) dan American Institute Of Chemical Engineer UTM Student Chapter (AICHE) sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya merancang menghantar segera bantuan kemanusiaan ke Chad pertengahan bulan ini selain merangka pelbagai bentuk sumbangan besar lain.

“Misi kemanusiaan diatur Muslim Care Malaysia bersama UTM ini bukan hanya berkisar soal bantuan makanan, malah membabitkan kemudahan lain seperti pembinaan masjid, pemberian al-Quran selain membina telaga tiub untuk kemudahan penduduk.

“Malah Muslim Care sedang giat mengumpul dana RM200,000 bagi membina sebuah masjid tidak jauh dari ibu negara Chad, N’djamena,” katanya.

Zulkifli berkata, bantuan itu antara misi khas Muslim Care selepas sumbangan sama disalurkan kepada masyarakat Rohingya, Myanmar, Gaza, Palestin, pelarian Syria, penduduk Yaman, Mesir, Poland dan beberapa negara lain.

Menurutnya, orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan kepada penduduk Islam Chad boleh menyalurkannya ke akaun Maybank melalui nombor akaun 564490413882, RHB Bank 26212000004747, Bank Islam 14014010147470 atau kepada UTM Humanitarian Mission melalui CIMB Bank 8602777801.

Orang ramai juga boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Johari Ismail di talian 0169978323 bagi mendapatkan maklumat berhubung ‘Misi Chad’ selain melayari laman Facebook Muslim Care Malaysia Society.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 9:11 AM