Ahsmon Bajah (tengah) menunjukkan peralatan perjudian dalam talian yang dirampas. FOTO MOHD ROJI KAWI
Ahsmon Bajah (tengah) menunjukkan peralatan perjudian dalam talian yang dirampas. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Enam lelaki yang juga operator sindiket perjudian dalam talian ditahan pada serbuan di sebuah kediaman di Jalan Song di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, serbuan jam 9.30 malam itu dilakukan hasil risikan serta maklumat awam.

"Kesemua suspek warga tempatan yang berusia 19 hingga 29 tahun itu menerima upah RM1,500 hingga RM1,900 sebulan bagi mengendalikan pusat panggilan terbabit.

"Sindiket itu mempromosikan judi dalam talian dengan mensasarkan penduduk tempatan menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram, Wechat dan Facebook," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.

Menurut beliau, rumah yang dijadikan sebagai pusat panggilan itu beroperasi 24 jam dengan dua syif.

Polis turut merampas empat monitor serta empat unit pemprosesan komputer, 10 telefon bimbit serta beberapa peralatan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

"Sindiket sudah beroperasi selama enam bulan dan berdasarkan rekod transaksi, sindiket mengaut keuntungan sehingga RM16,000 sehari.

"Ini bermakna, mereka sudah mengaut keuntungan kira-kira RM2.8 juta sejak mula beroperasi," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 5:17 PM