PENDUDUK melihat mayat yang ditemui terapung berhampiran Kampung Pasir Putih,  Tawau. FOTO Ihsan pembaca
PENDUDUK melihat mayat yang ditemui terapung berhampiran Kampung Pasir Putih, Tawau. FOTO Ihsan pembaca
Nasrawati Syarifuddin


MAYAT lelaki yang sudah mereput ditemui terapung berhampiran Kampung Pasir Putih, Tawau, hari ini.

Pada kejadian kira-kira 6 petang itu, mayat ditemui oleh penduduk kampung yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Bagaimanapun, identiti lelaki itu masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, susulan laporan penduduk, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

"Kita kemudian menemui mayat terapung berhampiran dengan perkampungan atas air itu.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Fadil berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mungkin sudah lama meninggal dunia berdasarkan keadaan mayat yang sudah mereput.

"Kita percaya mangsa mati lemas dan tidak ada unsur jenayah dalam kes ini.

"Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 10:36 PM