ANTARA aksi berbahaya yang sempat dirakam ketika polis melakukan Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2. FOTO ihsan JSPT TERENGGANU
ANTARA aksi berbahaya yang sempat dirakam ketika polis melakukan Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2. FOTO ihsan JSPT TERENGGANU
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tindakan berani tiga lelaki mempamerkan kehebatan menunggang motosikal dengan aksi 'Superman' dan 'zig-zag' membawa padah apabila ditahan polis di sebuah stesen minyak di Sungai Tong, Setiu di sini, semalam.

Terdahulu, tindakan berbahaya tiga lelaki yang berusia antara 21 hingga 28 tahun itu disedari pegawai serta anggota Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu yang melakukan tinjauan dalam Ops Samseng Jalanan di Kilometer (KM) 423 hingga 433 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu pada 9.30 malam.

Ketua JSPT Terengganu Superintendan Abd Razak Hasan berkata, pasukan yang melakukan tinjauan di laluan berkenaan terserempak dengan sekumpulan penunggang motosikal dengan tiga daripadanya didapati menunggang motosikal secara berbahaya di KM424 LPT2.

Menurutnya, mereka membuat aksi 'Superman', bersaing sesama sendiri dan 'zig-zag' sebelum anggota bertindak mengekori mereka.

"Selepas hampir 30 minit mengekori tiga lelaki terbabit, mereka ditahan ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Sungai Tong.

"Kesemua suspek dan motosikal ditunggang mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, selain menyita tiga motosikal, pihaknya turut mengeluarkan 14 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti ubah suai ekzos, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran, ubah suai aksesori, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

"Kita memandang serius aktiviti tidak sihat ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang.

"Operasi berterusan akan dilakukan bagi mengekang aktiviti tidak sihat ini yang bukan hanya berbahaya kepada penunggang itu sendiri tetapi pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 3:34 PM