Ismail Sabri menunjukkan petai sebagai buah tangan yang diterimanya pada majlis perasmian Karnival Orang Asli 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Ismail Sabri menunjukkan petai sebagai buah tangan yang diterimanya pada majlis perasmian Karnival Orang Asli 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Mohd Nasif Badruddin


SEBANYAK 134,000 hektar tanah di seluruh negara dirizabkan sebagai simpanan tetap untuk Orang Asli.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 32,700 hektar daripadanya sudah diwartakan dan 20,000 hektar diluluskan oleh Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, sebanyak 74,629 hektar pula sudah diukur dan diserahkan kepada kerajaan negeri bagi mengeluarkan geran tanah.

"Kita harap pewartaan tanah Orang Asli ini dapat dimuktamadkan secepat mungkin supaya ia mudah dibangunkan selain akan diberi geran individu.

"Sebagai contoh, ada kerajaan negeri seperti Perak menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu tanah Orang Asli termasuk mempunyai wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk mempercepatkan perkara ini.

"Beberapa negeri sudah ada mengeluarkan geran individu kepada Orang Asli seperti Pahang sebanyak 1,800 hektar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Orang Asli 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negara Isa Ab Hamid, Ketua Setiausaha KKLW Datuk Borhan Dolah dan Ketua Pengarah JAKOA Mohd Jamalludin Kasbi.

Karnival tiga hari bermula hari ini diadakan bertujuan mengetengahkan keunikan kebudayaan pelbagai suku kaum, warisan, bahasa, kepercayaan dan amalan masyarakat Orang Asli melalui persembahan kebudayaan yang diadakan sepanjang program berlangsung.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, daripada 4,100 murid Orang Asli yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini, seramai lima murid mendapat 6A, enam (5A), 13 (4A), 17 (3A), 39 (2A) dan 113 (1A).

Katanya, KKLW akan memberi kelonggaran dan laluan khas kepada masyarakat Orang Asli serta luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak untuk memasuki Maktab Rendah Sains MARA dengan syarat minimum 3A dan 3B berbanding 5A ke atas bagi kemasukan umum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 6:47 PM