ISMAIL Sabri (dua dari kanan) meninjau aktiviti pengagihan daging korban.
ISMAIL Sabri (dua dari kanan) meninjau aktiviti pengagihan daging korban.
Nabihah Kamal


Bangi: Bayaran ansuran bulanan bagi program Rumah Bina Negara (Rumah BN) untuk membantu belia luar bandar memiliki rumah dianggarkan antara RM250 hingga RM300 sebulan.

Harga rumah di bawah kelolaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu diumumkan pada majlis pelancarannya pada Oktober depan di Chuping, Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 4,000 unit rumah BN siap dibina di seluruh negara menjelang 2020 dan harga bagi setiap unit bergantung kepada kawasan berkenaan.

“Berkemungkinan harga bayaran ansuran serendah RM250 hingga RM300 dan ia bergantung kepada pemilikan tanah, sama ada ia dibina di tanah kerajaan negeri atau milik RISDA.

“Ia juga membabitkan pembayaran premium tanah yang mengakibatkan kos meningkat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban RISDA 2016, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKLW Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan Ketua Pengarah RISDA Mohd Najib A Samad serta 400 tetamu, termasuk anak yatim dari lima pusat kebajikan yang menerima agihan daging korban.

Menurut Ismail Sabri, KKLW merancang menambah bilangan unit berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Pada fasa pertama, keutamaan diberikan kepada pembinaan di tanah sendiri di mana belia luar bandar perlu mendapatkan geran dan surat kebenaran daripada pemilik seperti ibu bapa untuk membuat permohonan.

“Oleh itu, semua yang mempunyai geran tanah layak memohon kerana ia bukan saja dibuka kepada anak pekebun kecil, malah kepada generasi kedua luar bandar,” katanya.

Ismail Sabri berkata, projek Rumah BN akan dilaksanakan agensi di bawah KKLW seperti RISDA, FELCRA Berhad, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bermula bulan depan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pada tahun ini, sebanyak RM5,000 diperuntukkan untuk setiap 13 pejabat RISDA bagi ibadah korban.

“Pada hari ini ( semalam), sebanyak lapan ekor lembu disembelih untuk diagihkan kepada 18 kakitangan RISDA yang layak dan kurang berkemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 11:00 AM