Tok Batin, Entel Burok (kiri duduk) bersama sebahagian penduduk Kampung Orang Asli Pasir Puteh menunjukkan salinan surat yang pernah dihantar untuk permohonan air bersih kepada JAKOA dan Pejabat Menteri Johor. FOTO OMAR AHMAD
Tok Batin, Entel Burok (kiri duduk) bersama sebahagian penduduk Kampung Orang Asli Pasir Puteh menunjukkan salinan surat yang pernah dihantar untuk permohonan air bersih kepada JAKOA dan Pejabat Menteri Johor. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam mengatasi masalah berkaitan isu bekalan air di Kampung Orang Asli Pasir Puteh, dekat Pasir Gudang sejak Mac 2016.

Menerusi satu kenyataan, JAKOA memaklumkan urusan pembekalan air bersih ke kampung terbabit menjadi sukar berikutan masalah status tanah.

Menurutnya, isu utama permasalahan adalah berkaitan status tanah di kampung tersebut iaitu rizab sungai dan sebahagiannya adalah di atas tanah milik syarikat swasta.

"JAKOA tidak boleh sewenangnya melakukan penyambungan paip air tanpa keizinan pemilik tanah terbabit.

"Sehubungan itu, mesyuarat bersama beberapa agensi berkaitan mencadangkan penyelesaian kepada masalah ini melalui pertama, pewartaan Kampung Orang Asli Pasir Putih sebagai Tanah Rizab Orang Asli.

"Atau melaksanakan Pengambilan Balik Tanah (PBT) kawasan berhampiran dengan kampung ini yang berstatus tanah milik syarikat mengikut keluasan tanah yang sesuai dan munasabah.

"Namun pelaksanaan PBT pula dijangka membabitkan kos dan peruntukan besar oleh kerajaan dan membabitkan perundangan serta dasar kerajaan negeri,"maklum kenyataan itu hari ini.

Kenyatan itu juga memaklumkan pihak JAKOA dalam proses perundingan perolehan bagi membekal air untuk kemudahan dan mengikut keperluan penduduk kampung terbabit.

Kampung Orang Asli Pasir Putih, Pasir Gudang terdiri daripada masyarakat Orang Asli yang berasal dari Stulang Laut.

Mereka berpindah ke Kampung Orang Asli Pasir Puteh sejak tahun 90-an berikutan pembangunan di Stulang Laut oleh kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 8:42 PM