Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan pengusiran lebih 160 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Sinju dekat Simpang Pulai, Ipoh, bagi projek penanaman durian Musang King akibat pencerobohan oleh pemaju di penempatan itu.

Sebaliknya, Saarani berkata, tanah itu adalah milik persendirian yang secara undang-undangnya sah didaftarkan sejak tahun 1927 atas nama seseorang dan kini baharu melalui fasa penerokaan.

"(kita) Kena betulkan tafsiran, tanah itu milik seseorang yang didaftarkan sejak 1927 tetapi baharu ingin dibangunkan.

"Semasa pembangunan bermula masyarakat Orang Asli itu sudah menduduki tinggal di kawasan itu kerana mereka tidak tahu atau tidak menyangka tanah itu ada pemilik kerana beranggapan ia hanya hutan.

"Jadi untuk katakan pemaju yang menceroboh tanah Orang Asli di situ, ia tidak betul sebab itu memang tanah pemaju," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lenggong di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong, di sini, hari ini.

SAARANI ketika membuang undi bagi pelantikan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Ahli Jawatankuasa Bahagian dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
SAARANI ketika membuang undi bagi pelantikan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Ahli Jawatankuasa Bahagian dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

Pada 6 Mac lalu media melaporkan, lebih 160 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Sinju mendakwa tanah adat penempatan itu diceroboh dan diberi notis 30 hari untuk meninggalkan kawasan itu bagi memberi laluan kepada projek Musang King diusahakan sebuah syarikat pemaju.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Pegawai Daerah Kinta sudah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta pegawai khas beliau untuk mencari jalan penyelesaian susulan susulan 11 ahli jawatankuasa bertindak perkampungan itu yang hadir ke perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak di Ipoh bagi menyuarakan aduan kepada Pejabat Menteri Besar.

"Hasilnya, atas dasar kemanusiaan pemaju menawarkan tempat tinggal di penempatan Orang Asli di kawasan lain yang kebajikannya akan 'dijaga' oleh pemaju itu.

"Atas perikemanusiaan, pemaju juga menyatakan komitmen termasuk membuat jalan atau meratakan tapak jika Orang Asli yang diusir itu sudi berpindah ke kawasan yang dimaksudkan terbabit," katanya.

Terdahulu, Tok Batin kampung itu, Alang Apok Sitam, 65, berkata notis pengosongan beberapa lot di Mukim Sungai Raia dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta bertarikh 23 Februari 2023 itu diterima seminggu sebelum mereka hadir ke Pejabat SUK Perak.

Alang mendakwa, kawasan berhampiran yang diusahakan sebagai dusun tanaman oleh penduduk kampungnya mula diceroboh pemaju sama sejak enam bulan lalu iaitu September 2022 tanpa melalui sebarang perbincangan dan rundingan dengan pihaknya.

Alang dalam pada itu turut mengakui pemaju terbabit mempunyai geran tanah seluas lima ekar (2.05 hektar) kampung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 4:46 PM