Bantuan barang makanan asas dari Ahli Patlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, sumbangan Jabatan Kemajuan Orang  Asli (JAKOA) terpaksa di letakkan di pintu masuk kampung. FOTO ROSELAN AB MALEK
Bantuan barang makanan asas dari Ahli Patlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, sumbangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terpaksa di letakkan di pintu masuk kampung. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


“DATUK letak dekat pintu pagar jelah barangan bantuan itu. Nanti kami angkat sendiri dan agihkan kepada anak buah.”

Begitulah ketegasan yang ditunjukkan Tok Batin

Kampung Paya Lintah Man Bakar, 65, sambil menunjukkan pintu pagar kepada Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Terdahulu, Ahmad Nazlan bersama kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mahu menyampaikan bantuan barangan makanan asas daripada agensi berkenaan kepada masyarakat Orang Asli di lokasi berkenaan.

Untuk rekod, penduduk Orang Asli Kampung Paya Lintah di sini, membina pagar kayu di pintu masuk kampung bagi menghalang orang luar datang ke penempatan mereka untuk mengelak penularan Covid-19.

Mereka membina halangan berkenaan selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahmad Nazlan berkata, masyarakat Orang Asli begitu akur dengan arahan kerajaan dan cukup takut dengan Covid-19 yang dikatakan mereka sebagai ‘penyakit tidak boleh dilihat’.

“Keadaan ini juga dapat memastikan orang luar seperti peniaga warga asing tidak sewenang-wenangnya masuk ke kampung mereka dalam keadaan genting ketika ini.

“Mungkin pihak luar melihat usaha ini remeh tetapi sebenarnya ia membawa kesan positif kepada penduduk, daripada segi keselamatan dan kesihatan masyarakat Orang Asli di sini.

“Tindakan ini adalah untuk kebaikan bersama,” katanya yang berharap pihak luar dapat menerima tindakan dilakukan itu.

Sepanjang PKP, Ahmad Nazlan bersama petugas JAKOA bertungkus lumus menyampaikan bantuan makanan kepada 922 keluarga Orang Asli di 22 perkampungan mereka yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerantut.

Ahmad Nazlan berkata, kerajaan prihatin dengan masyarakat Orang Asli dan bantuan ini disalur kepada JAKOA melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Daerah Jerantut amat luas. Contoh, perkampungan Orang Asli yang terletak di pesisir Sungai Tembeling, ia terletak jauh dari bandar seterusnya menyukarkan mereka mendapat bekalan makanan.

“Oleh itu, kerajaan berterusan mengambil langkah perlu bagi menyalurkan bahan makanan kepada setiap keluarga masyarakat Orang Asli ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 4:18 PM