SEBAHAGIAN pelajar sekolah yang menerima sumbangan persekolahan di RMHC.
SEBAHAGIAN pelajar sekolah yang menerima sumbangan persekolahan di RMHC.
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Seramai 6,000 murid dalam kalangan kurang berkemampuan bakal menerima sumbangan pek Kembali ke Sekolah bernilai keseluruhan RM1.2 juta bermula 1 November ini menerusi program tajaan McDonald’s Malaysia.

Penganjuran program itu melalui Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) dan Kerry Ingredients (M) Sdn Bhd adalah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak berkenaan.

Pengarah Urusan dan Rakan Niaga Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, setiap murid yang terpilih akan menerima set kelengkapan sekolah bernilai RM200 setiap seorang.

Menurut beliau, pihaknya menyalurkan sumbangan kepada kanak-kanak sekolah rendah daripada golongan miskin bandar seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor.

“Setiap kanak-kanak ini akan menerima dua set pakaian sekolah, sepasang kasut sekolah dan dua pasang stoking dan satu beg sekolah.

“Justeru, semua sumbangan ini akan mula diagihkan secara berperingkat kepada kanak-kanak bermula 1 hingga 24 November ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Program Kembali Ke Sekolah McDonald’s, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Dasar) Bahagian Pendidikan Sekolah Harian Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid dan Pengarah Serantau bagi Kesihatan, Keselamatan & Persekitaran (HSE), Asia Pasifik Kerry Ingredients (Malaysia) Sdn Bhd William Kuek.

Sementara itu, Kamalanathan berkata, program itu adalah sumbangan sektor swasta yang juga sebahagian daripada anggota masyarakat dalam membantu perkembangan kanak-kanak.

“Pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan mengalu-alukan inisiatif daripada sektor swasta untuk menyokong, memotivasikan dan meningkatkan semangat murid terutama daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 6:30 AM