BERGAMBAR kenangan.
BERGAMBAR kenangan.

McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) meraikan kira-kira 75 kanak-kanak di Pusat Jagaan Lambaian Kasih, Kampung Sungai Penchala, baru-baru ini.

Seramai 25 sukarelawan terdiri daripada kakitangan McDonald’s sendiri meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti bersama kanak-kanak berkenaan.

Ini termasuk menceriakan rumah kebajikan itu dengan pelbagai dekorasi hari raya, mengagihkan juadah dan bersolat jemaah bersama kanak-kanak dan tenaga pengajarnya.

McDonald’s turut menaja hidangan lazat burger McChicken dan pai epal untuk kanak-kanak terbabit.

Bukan itu sahaja, Ronald McDonald juga turut hadir bagi memeriahkan suasana di rumah kebajikan itu melalui sesi bercerita.

Ia adalah hari yang cukup bermakna untuk kanak-kanak di Pusat Jagaan Lambaian Kasih itu apabila pihak McDonald’s Malaysia turut menyampaikan duit raya kepada setiap penghuni.

RMHC pula memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada rumah kebajikan itu dan barangan keperluan sekolah.

Menurut Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar, pihaknya gembira dapat membantu menceriakan kanak-kanak terbabit.

“Saya juga berterima kasih kepada sukarelawan McDonald’s yang turut hadir menjayakan majlis ini dan program ini juga sebahagian daripada misi kami untuk mendekati masyarakat setempat bagi menggembirakan atau membawa impak positif kepada kehidupan mereka. Semoga usaha kecil kami ini mampu membawa kenangan manis kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 5:21 AM