Jumlah pelajar mencuba dadah di Kelantan membimbangkan.
Jumlah pelajar mencuba dadah di Kelantan membimbangkan.
Muhamaad Razis Ismail


SERAMAI 18 pelajar disahkan positif dadah dalam program ujian saringan air kencing di 164 sekolah menengah di Kelantan, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, semua pelajar terbabit ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, ujian saringan ini dijalankan di sekolah menengah kebangsaan sahaja dan tidak membabitkan sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan.

"Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kelantan dan Pegawai Pendidikan Pencegahan Dadah Jabatan Pendidikan Kelantan melakukan pemeriksaan terhadap 4,418 pelajar membabitkan 3,957 pelajar lelaki dan 191 pelajar perempuan.

"Daripada jumlah itu, 275 pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan dikesan positif mencuba dadah manakala 18 pelajar lelaki ditahan selepas positif dadah," katanya ketika menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Terdahulu, Abdul Halim bertanya mengenai rekod bilangan penagih dadah membabitkan pelajar sekolah di negeri ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohamed Fadzli berkata, pelajar ini tidak boleh diklasifikasikan sebagai penagih kerana pembabitan mereka masih dalam peringkat mencuba selepas terpengaruh dengan rakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, bidang kuasa kerajaan negeri terhad untuk atasi masalah dadah.

"Bagaimanapun kita banyak menjalankan pelbagai program kesedaran melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, badan bukan kerajaan serta agensi berkaitan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) mengenai langkah diambil kerajaan negeri untuk membanteras gejala penagihan pil kuda di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 1:09 PM