ZULKIFLI (dua dari kiri) meninjau ruang aduan pada Majlis Pelancaran Hotline AADK di Ibu Pejabat AADK, Kajang, semalam.
ZULKIFLI (dua dari kiri) meninjau ruang aduan pada Majlis Pelancaran Hotline AADK di Ibu Pejabat AADK, Kajang, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


KAJANG: Angka membimbangkan apabila 1,709 pelajar sekolah menengah positif dadah dalam ujian saringan dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di 178 kawasan berisiko tinggi antara Januari hingga Oktober lalu.

Lebih membimbangkan apabila kebanyakan remaja sekolah ini menjadi penagih syabu berbanding ganja seperti sebelum ini.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, angka itu diperolehi hasil saringan terhadap 41,000 pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 17 tahun di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 1,709 daripada mereka didapati positif dadah. Kebanyakan mereka menggunakan methaphetamine (syabu) kerana lebih murah dan senang didapati.

“Sarawak mempunyai jumlah pelajar sekolah menengah paling tinggi direkodkan positif dadah berdasarkan ujian saringan diikuti Kedah dan Kelantan.

“Malah, kami mendapati terdapat perubahan aliran penggunaan methaphetamine yang lebih tinggi iaitu 61 peratus berbanding dadah lain selain penurunan penggunaan opiat menurun 30 peratus,” katanya pada sidang media selepas melancarkan talian hotline AADK di Ibu Pejabat AADK di Jalan Maktab, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Zulkifli melancarkan talian hotline AADK yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian 03-89112233 atau 019- 6262233.

Zulkifli berkata, pihaknya memberi tumpuan dengan menjalankan pemeriksaan saringan terhadap kakitangan di agensi awam dan swasta selaras dengan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang dijalankan sebelum ini.

“Sebelum ini, kami ada melakukan pemeriksaan saringan di agensi awam dan swasta, namun tahun depan, kami mempergiatkan program itu dalam usaha membantu menyelamatkan kakitangan yang terjebak dengan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 10:58 AM