GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM1.95 juta bagi program bersepadu menangani gejala sosial termasuk isu penyalahgunaan dadah, ketum dan arak di negeri ini yang akan bermula pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata peruntukan sebanyak RM200,000 juga diluluskan bagi Program Pendidikan Pencegahan dan Program Induk Transformasi Ummah (PINTU) kepada Orang Kena Pengawasan (OKP) pada 2020 yang disalurkan melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Kelantan.

"Program ini akan dilaksanakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Kelantan (AADK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK)," katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata AADK Kelantan juga telah menerima peruntukan dari AADK Ibu Pejabat berjumlah RM231,470 bagi melaksanakan beberapa program di seluruh daerah dalam dua fasa.

"Antara yang disenaraikan ialah program kepada keluarga yang berisiko, masyarakat dalam komuniti, program PINTAR, program Tempat Kerja Bebas Dadah, Tomorrow's Leader, Program SMART, program Community Empowerment (CE) dan sebagainya.

"AADK juga telah melaksanakan program Inisiatif Bersepadu Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Pelencongan Sosial di kawasan Pengkalan Chepa yang membabitkan golongan pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, keluarga, belia dan pemimpin tempatan," katanya.

Ujarnya lagi, Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan geran kepada AADK dan ia telah diagihkan kepada sembilan jabatan dan 10 badan bukan kerajaan (NGO).

"Geran itu bagi melaksanakan program Inisiatif Bersepadu di kawasan Pengkalan Chepa dan ia dilaksanakan secara bersasar dan ada juga membabitkan kerjasama pemimpin komuniti bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan ketum yang dilihat semakin meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 8:25 PM