Anggota HAZMAT membersihkan tumpahan merkuri di bilik unit kecemasan di Hospital Tuaran. FOTO Ihsan Bomba
Anggota HAZMAT membersihkan tumpahan merkuri di bilik unit kecemasan di Hospital Tuaran. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


KAKITANGAN bilik unit kecemasan Hospital Tuaran, Tuaran, cemas apabila satu balang jenis Spygmomanometer (alat pengukur tekanan darah) pecah menyebabkan berlaku tumpahan merkuri di bilik berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.35 petang itu, semua kakitangan terbabit bergegas keluar menyelamatkan diri dan segera menghubungi pihak bomba untuk bantuan pembersihan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Qawie Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.41 petang sebelum lima anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi itu turut dibantu Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Sembulan.

"Sebaik tiba, pihak bomba mengesan lokasi berlaku tumpahan dan menabur sulfur di atas tumpahan sebelum meneruskan kerja pembersihan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Qawie berkata, operasi pembersihan berjalan lancar dan selesai pada jam 4 petang.

Menurutnya lagi, kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan.

"Tindakan seterusnya, pasukan bomba memasukkan merkuri itu ke dalam beg serba guna dan diserahkan kepada pihak hospital untuk pelupusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 10:57 PM