KEADAAN kenderaan Perodua Kenari selepas bertembung lori treler membawa muatan besi di Jalan Tamparuli-Ranau di Kampung Bongol, Tamparuli. FOTO Recquel Raimi
KEADAAN kenderaan Perodua Kenari selepas bertembung lori treler membawa muatan besi di Jalan Tamparuli-Ranau di Kampung Bongol, Tamparuli. FOTO Recquel Raimi
Recqueal Raimi


LIMA individu termasuk bayi berusia enam bulan nyaris maut apabila Perodua Kenari dinaiki mereka bertembung dengan treler di Jalan Tamparuli- Ranau dekat Kampung Bongol, Tamparuli, Tuaran, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, dua mangsa wanita, Nur Syuhada Azureen Mujini Abdullah, 31 dan Norharyatie Musaffar, 29 serta tiga lagi lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan seorang bayi, Fadli Musilim, 27; Muhammad Haziq Azfar Mualidan Abdullah, 5 dan Rizqy Ramadhan Amin Abdullah yang berusia enam bulan dilaporkan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.45 petang sebelum sepasukan anggota dengan jentera dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati tiga mangsa dalam keadaan sedar dan berjaya dikeluarkan orang awam, namun tahap kecederaan belum dikenal pasti.

“Terdahulu, dua mangsa kanak-kanak dihantar oleh orang awam ke Hospital Ranau dan turut dilaporkan selamat

“Kemudian, tiga lagi mangsa dihantar oleh pihak bomba dan hospital menggunakan ambulans ke Hospital Tuaran,” katanya.

Menurutnya, setakat ini maklumat pemandu lori belum dikenal pasti.

Ketika kejadian, Perodua Kenari dikatakan datang dari arah Ranau ke Tamparuli sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan besi.

Qawie berkata, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis manakala pasukan bomba menamatkan operasi pada 6.01 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 9:30 PM